GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Tingkatkan momentum pelaksanaan TMPs – Raja Perlis

23 April 2024 (Selasa)

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya ditingkatkan lagi momentum pelaksanaan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Menurut baginda, lanskap alam semula jadi Perlis adalah anugerah Allah SWT yang tidak terhingga kepada negeri ini.

“Beta berharap kerajaan negeri dapat meningkatkan lagi momentum pelaksanaan TMP 2024-2025. Landskap alam semula jadi Perlis adalah satu anugerah yang tidak terhingga dikurniakan Allah S.W.T kepada kita.

“Dengan kelebihan tersebut, beta ingin menzahirkan kesyukuran atas pengiktirafan Negeri Perlis sebagai Geopark Kebangsaan pada 9 November 2023,” titah baginda pada perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, di sini, hari ini.

Titah ucapan baginda itu dibaca Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Untuk rekod, Perlis merupakan satu-satunya geopark yang melibatkan sebuah negeri serta mempunyai 23 geotapak di mana tiga daripadanya bertaraf antarabangsa, 14 bertaraf kebangsaan dan enam bertaraf tempatan serta lapan biotapak dan 12 tapak budaya.

Baginda juga mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri mewujudkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis.

“Mengambil kira kekayaan khazanah bumi dan alam semula jadi yang terdapat di negeri ini, beta mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri untuk mewujudkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis.

“Beta yakin dengan adanya Pusat Biodiversiti, ia dijangka akan menjadi pusat biodiversiti setempat wilayah utara, dapat mengukuhkan lagi usaha pemeliharaan sumber biodiversiti negeri Perlis,” titah baginda.

Selain itu, baginda berpandangan perlu ada campur tangan kerajaan secara serius untuk membina lebih banyak rumah perumahan rakyat dan perumahan awam.

“Melihat kepada trend harga rumah kini yang meningkat dengan begitu mendadak, sehingga menyebabkan rakyat tidak mampu untuk memiliki rumah kos rendah dan sederhana, beta berpandangan perlu ada campur tangan kerajaan secara serius untuk membina lebih banyak rumah perumahan rakyat atau perumahan awam.

“Jika semua tanah kerajaan yang boleh dibangunkan rumah kos rendah dan sederhana diberikan pada pemaju swasta, akhirnya kita akan lihat, tidak ada lagi rakyat tempatan yang boleh memiliki rumah,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

Leave a Reply