GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Guar Syed Alwi muncul juara Liga Super Perlis

1 Oktober 2023

ARAU: Pasukan Guar Syed Alwi FC muncul juara kejohanan bola sepak Liga Super Perlis selepas menewaskan Lion Junior FC 1-0 dalam aksi sengit di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis di sini, malam tadi.

Gol kemenangan Guar Syed Alwi dalam perlawanan akhir tersebut dijaringkan oleh Muhammad Arif Nazdman Roslan pada minit ke-70 sekali gus membawa pasukannya menjuarainya kejohanan edisi kedua itu.

Manakala tempat ketiga pula diraih oleh pasukan KSMR Kangar FC dan Anak Nelayan FC dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Majlis penyerahan hadiah tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa sukan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Liga Bola Sepak Perlis, Muhammad Azmir Azizan.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dr. Faizal Kamarudin.

Liga Super Perlis 2023 bermula pada 21 Julai hingga 30 September dengan sebanyak 14 pasukan tempatan telah menyertai edisi kali ini membabitkan 45 perlawanan keseluruhan.

Sebagai rekod, Liga Super Perlis telah dijenamakan semula daripada Liga Bola Sepak Perlis sebagai satu langkah penstrukturan sistem liga bola sepak tempatan di negeri ini.

Liga Super Perlis 2023 merupakan edisi kedua yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Perlis yang dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri Perlis.

Liga Super Perlis telah mendapat pengiktirafan daripada Amateur Football League (AFL) sebagai liga yang berstatus M5 iaitu liga amatur tahap ke-3 di Malaysia.-UTUSAN

Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/10/guar-syed-alwi-muncul-juara-liga-super-perlis/

Leave a Reply