GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Perlis alu-alukan input, maklum balas rancak pelancongan Perlis

19 September 2023

KANGAR: Perlis sentiasa mengalu-alukan sebarang input maklum balas, cadangan membina, penambahbaikan secara berterusan dari agensi-agensi dan wakil pengusaha pelancongan serta pengunjung.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal demikian penting bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Ia juga sebagai persiapan untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 bermula tahun hadapan,” titah baginda
selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Makanan Perlis di Restoran Malaysia Nur Muhammad Istanbul, Turkiye.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut mengiringi baginda ialah Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Datuk. Prof. Dr Zaliman Sauli.

Menu istimewa berupa Kurma Daging Perlis disajikan di restoran yang diuruskan oleh Nur Muhammad Turizm Gida Ve Ticaret Ltd Sti dan dimiliki sepenuhnya oleh GISB Holdings (Malaysia) tersebut.

Restoran ini mempunyai lokasi yang strategik bagi para pelancong kerana ia terletak berdekatan dengan Masjid Hagia Sophia, stesen tram Sultanahmet dan Stesen Keretapi Gulhane.

Di majlis berkenaan baginda juga berkenan menyerahkan plak simbolik program anjuran restoran itu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Unimap dan BMC Travel Sdn Bhd kepada Pengurus Besar Cawangan Turkiye dan Eropah syarikat GISB Holdings iaitu Mohammad Abulfida Nasiruddin.

Baginda berangkat singgah di Istanbul selama satu malam ketika dalam perjalanan berangkat pulang ke tanah air selepas mengetuai program Jelajah Imu Unimap ke beberapa buah negara Baltik baru-baru ini.

Sementara itu, baginda bertitah, Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan Negeri Perlis mengklusterkan lima sektor jejak pelancongan dan mempunyai teras dan strategi bagi setiap satunya terdiri daripada Jejak pelancongan Eko; Jejak pelancongan Agro; Jejak pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan; Jejak pelancongan Membeli Belah dan Makanan; serta Jejak pelancongan Sukan dan Rekreasi.-UTUSAN

Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/09/perlis-alu-alukan-input-maklum-balas-rancak-pelancongan-perlis/

Leave a Reply