GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

15 ADUN Perlis sambut pelancong serentak di 8 lokasi 

KANGAR: Seramai 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan Negeri Perlis termasuk ADUN tunggal dari Pakatan Harapan (PH) menjayakan program Sambutan Pelancong sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 yang bermula 1 Januari 2024.

Mereka ditempatkan di lapan lokasi yang dikenalpasti khususnya laluan masuk ke negeri itu seawal jam 8.30 pagi untuk menyambut pengunjung yang masuk.  

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, kebanyakan pelancong mengambil peluang musim cuti sekolah untuk berkunjung ke negeri itu.

“Kebanyakan pelancong di situ hadir dari Kedah dan Pahang rata-rata mengambil peluang bercuti ke Perlis bersama keluarga,” katanya. 

Menurut beliau, Nakawan Base Camp yang terletak dalam kawasan Bukit Ayer menjadi pilihan berbanding menginap di inap desa lain mahupun hotel-hotel yang berhampiran.

“Taman Eko Rimba Bukit Ayer menyajikan tapak perkhemahan pada harga RM20 bagi tapak 10×10 dan RM25 bagi tapak 15×15. 

“Selain itu, pelancong juga boleh menikmati kesejukan air terjun disamping aktiviti menunggang All-Terrain Vehicle (ATV) dan ‘jungle trekking’,” ujarnya.

Sementara itu, beliau bersama ADUN Sena, Marzita Mansor ditempatkan di Taman Eko Rimba Bukit Ayer kira-kira jam 11 pagi untuk menyantuni para pelancong di lokasi berkenaan. 

Dalam pada itu, Fakhrul Anwar (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) ditempatkan di Gua Kelam. 

Izizam Ibrahim (ADUN Titi Tinggi) di ICQS Padang Besar, Adun Tambun, Wan Zikri Afthar dan Adun Beseri, Haziq Asyraf Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wang Kelian.  

Dalam perkembangan yang sama, ADUN simpang Empat, Razali Saad pula diamanahkan untuk menyambut kedatangan pelancong di Jeti Kuala Perlis. 

Sementara, dua ADUN Asrul Aimran Abd Jalil (Kayang) dan Gan Ay Ling (Indera Kayangan) di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar. 

Program berakhir di Santuari Ikan Air Tawar, Tasik Timah Tasoh yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Wan Badariah Wan Saad serta Isteri Menteri Besar Perlis, Najwa Othman.

Pengunjung diberikan risalah Tahun Melawat Perlis 2024-2025 serta ‘button badge’ sebagai cenderamata. – HARAKAHDAILY 

Artikel Asal: https://harakahdaily.net/index.php/2024/01/02/15-adun-perlis-sambut-pelancong-serentak-di-lapan-lokasi/

Leave a Reply