GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Perlis kaya dengan eko pelancongan

20 Ogos 2020

KANGAR: Taman Negeri Perlis (TNP) di sini mempunyai pelbagai lokasi ekopelancongan yang menarik termasuk memiliki spesies endermik Cycas clivicola (pokok bogak) dan macaca arctoides (beruk kentoi) yang boleh menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negara.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Awang Shafie Awang Ahmad berkata, Galeri Gua Kelam juga dikenali sebagai ‘Galeri 3D’ di Gua Kelam, Kaki Bukit dan merupakan tarikan pelancongan baharu di TNP.

Katanya,  galeri sepanjang 68 meter tersebut merupakan pameran berbentuk gua yang memaparkan lima komponen pameran terdiri daripada hutan Malaysia, hutan TNP, keunikan flora dan fauna TNP,  gua dan pembentukan formasinya serta sejarah perlombongan dalam Gua Kelam. 

“Lokasi ini juga mempunyai ‘flying fox’ sepanjang 100 meter yang merupakan produk baharu di Gua Kelam. Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyusuri laluan Gua Kelam 1, laluan sepanjang 370 meter dan berpeluang melihat formasi setul dan jaluran gua batuan kapur tertua di Malaysia.

“Di samping itu, orang ramai juga boleh melihat struktur stalaktit, tirai gua serta mini empangan travertine dengan mineral kasiterit yang merupakan Geotapak Perlombongan di Aspiring Perlis Geopark,” katanya pada majlis perasmian kebun hidroponik di Abi Agro di sini semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan kebun tersebut dan berangkat bersama anakanda sulung baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Zurinah Pawanteh dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa KeTSA,  Khairulnizam Hashim.

Lawatan ke kebun hidroponik diusahakan oleh pengasas dan pengurusnya, Ashraf Shuib itu adalah bersempena dengan lawatan kerja Zurinah ke negeri ini yang turut diadakan dengan program  Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)  Menjejaki dan Menyantuni Asnaf. – UTUSAN

Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2020/08/perlis-kaya-dengan-eko-pelancongan/

Leave a Reply