GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Galeri Gua Kelam Tarikan Terbaru Eko Pelancongan Negeri Perlis

22 Januari 2020

PADANG BESAR, 22 Jan (Malaysiaktif) – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Galeri Gua Kelam Jabatan Perhutanan Negeri Perlis semalam.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Ibni Almarhum Tengku Abdul Rashid disambut Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku  Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis Azlan Man dan barisan kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan.

Di dalam titah perasmian, Tuanku Syed Sirajuddin merakamkan setinggi ucapan tahniah kepada Jawatankuasa Penggerak Tahun Melawat Perlis 2021 dan Jawatankuasa Pembangunan Galeri Gua Kelam khususnya Jabatan Perhutanan Negeri Perlis di atas usaha dan inisiatif menaikkan imej Gua Kelam dan Negeri Perlis.

“Sesungguhnya Negeri Perlis ini sangat bertuah kerana mempunyai bentuk muka bumi yang indah dan keunikan ini perlu dijaga sebaiknya agar negeri ini dikenali sebagai negeri eko pelancongan semulajadi.

“Antara yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara di negeri ini adalah aktiviti menerokai Gua Kelam 2 yang merupakan antara gua terpanjang iaitu sepanjang 3.6 km,” titah baginda semasa merasmikan Galeri Gua Kelam di Kompleks Eko Pelancongan Gua Kelam.

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah bahawa khazanah alam ini hendaklah sentiasa dipelihara agar ianya dapat dinikmati oleh generasi akan datang kerana pembentukan batu-batu di gua ini mengambil masa ribuan tahun untuk menjadi pelbagai bentuk seperti hari ini.

“Gua Kelam sendiri terbentuk daripada batu kapur yang berusia dari 400 hingga 500 tahun dahulu dan di atas faktor itu janganlah kita sewenang-wenangnya merosakkannya, menconteng atau membuat lukisan kerana ia merupakan perbuatan vandalisme yang bertentangan dengan pemikiran rakyat di negeri ini,” titah baginda lagi.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menggalakkan pihak swasta untuk melabur dan memajukan tempat-tempat perlancongan yang menarik di negeri ini.

Baginda bertitah meminta agar pada masa akan datang Perlis perlu menonjolkan daya tarikan pelancongan yang lebih unik dan berbeza berbanding produk pelancongan di negeri lain serta meminta rakyat di negeri ini supaya memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan demi menarik lebih ramai pelancong.

Tuanku Raja Perlis turut bertitah menyeru agar semua pihak bersama-sama mengambil berganding bahu bagi mempromosikan tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Perlis 2021 .

Galeri Gua Kelam merupakan satu pameran berbentuk penjelajahan dalam gua yang menerangkan khazanah hutan Malaysia melalui lima segmen pameran yang terdiri dari hutan Malaysia, flora, fauna dalam Taman Negeri Perlis, geologi dan sejarah perlombongan di Negeri Perlis serta pameran keunikan hutan yang diterjemahkan melaui gabungan pameran bahan grafik 3 dimensi (3D) yang diiringi  bunyi- bunyi alam, pameran spesimen, artifak, replika gua dan banyak lagi.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni memaklumkan tiada bayaran dikenakan untuk memasuki galeri 3D ini dan para pengunjung cuma perlu menunjukkan tiket masuk untuk ke Gua Kelam atau Gua Kelam 2.

Artikel Asal:
https://malaysiaaktif.my/2020/01/galeri-gua-kelam-tarikan-terbaru-eko-pelancongan-negeri-perlis/

Leave a Reply