Perlis, Kepulauan Batam, Indonesia kerjasama terokai peluang pelancongan
26 September 2023
KANGAR: Dua syarikat pelancongan dari negara ini dan Indonesia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka dan membangunkan peluang ekonomi dalam sektor pelancongan khususnya membabitkan negeri ini dan sekitar Kepulauan Batam.
Perjanjian bersejarah itu dimeterai oleh syarikat Sempurna Celebes Holiday Adventure Sdn Bhd dan Syarikat PT Pulau Penyengat Titik Ide, Kepulauan Riau sempena Expo Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) dan kempen Visit IMT-GT 2023-2025 di Batam, Riau, Indonesia hari ini.
Holiday Adventure diwakili Pengarah Operasinya, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman manakala PT Pulau Penyengat diwakili oleh Pengarahnya, Nurfatilla Afidah.
Majlis memeterai MoU itu disaksikan oleh Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Gabenor Kepulauan Riau, Ansar Ahmad. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof; Setiausaha Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Perlis, Dr. Puteh Soraya A.Rahman dan pemain-pemain industri pelancongan dari Indonesia serta negeri ini.
Ku Hasrin yang juga Presiden Persatuan Pelancongan dan Rekreasi Negeri Perlis (Trooper) berkata, kerjasama berkenaan membabitkan promosi pelancongan antara dua negara khususnya Perlis dan sekitar kepulauan Batam. Katanya, kerjasama berkenaan juga mengambil peluang bersempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
“Ia secara tidak langsung membuka peluang untuk kedua-dua negara khususnya Perlis meneroka dan membina kerjasama membabitkan peluang ekonomi dalam sektor pelancongan untuk faedah bersama dengan mematuhi undang-undang negara masing-masing.
“Selain itu, ia bakal membina dan mengerat kerjasama diantara dua pihak serumpun industri yang melibatkan syarikat, pertubuhan bukan kerajaan ((NGO) dan komuniti setempat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Mohd Shukri mengetuai delegasi Malaysia ke Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) 2023 yang berlangsung pada hari ini hingga 29 September.
Persidangan selama tiga hari dua malam itu berlangsung di Kota Batam, Kepulauan Riau, Indonesia. IMT-GT ialah rangka strategik kerjasama ekonomi antarabangsa dengan persetujuan pemimpin dari tiga negara terlibat.
Ia bagi membangunkan 14 wilayah di Selatan Thailand, lapan negeri di Malaysia (Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan) dan 10 wilayah dari Sumatera, Indonesia.-UTUSAN
Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/09/perlis-kepulauan-batam-indonesia-kerjasama-terokai-peluang-pelancongan/