GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Perlis tawarkan pengalaman pelancongan warisan, adat, makanan

28 September 2023

ARAU: Perlis menawarkan pengalaman pelancongan warisan, adat, makanan termasuk mempelam harumanis yang digelar antara yang terbaik di Malaysia.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keindahan Perlis juga merangkumi laluan-eko, bukit batu kapur, dan juga suasana sawah padi yang memukau.

“Di Perlis, kami tidak mempunyai produk pelancongan buatan seperti pusat membeli belah mega, taman tema mahupun hotel bertaraf lima bintang. Ia sememangnya sudah dimaklumi oleh semua pelancong yang bertandang ke sini,” titah baginda selepas berkenan meluangkan masa berangkat merasmikan ‘Sejati Homestay’ di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, Kampung Rama, Jalan Kuala Sanglang, sempena Program MAIPs Peduli baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin ke premis yang boleh memuatkan maksima 50 orang penginap tersebut disambut oleh Pengurusnya, Mohd Fuad Mansor.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah baginda, Tahun Melawat Perlis 2024-2025 adalah juga selari dengan Tahun Melawat Indonesia, Malaysia, Thailand Growth Triangle) IMT-GT 2023-2025.

“Perlis amat berharap melalui segala usaha yang bakal dilaksanakan hasil daripada maklum balas yang sangat baik daripada para pelancong setakat ini, maka jumlah pengunjung diterima pada tahun 2022 iaitu 2.99 juta akan bertambah,” titah baginda.-UTUSAN

Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/09/perlis-tawarkan-pengalaman-pelancongan-warisan-adat-makanan/

Leave a Reply