Kepelbagaian kedai makan unik, murah jadi tarikan pengunjung ke Perlis
19 Januari 2024, 2.48 petang, Asyraf Muhammad
WAN Badariah Wan Saad (empat dari kanan) melawat The Bunker Cafe di Batas Liku, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh ASYRAF MUHAMMAD
19 Januari 2024, 2:48 pm
KANGAR: Kepelbagaian kedai makan unik dan menarik selain harganya yang berpatutan di negeri ini menjadi antara tarikan sekali gus turut membantu merancakkan kehadiran pengunjung bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, premis makanan di negeri ini yang sering kali tular di media sosial juga memainkan peranan penting dalam menarik kehadiran pelancong.
Katanya, kebanyakan kedai ini juga turut menampilkan makanan beridentitikan Perlis sekali gus menjadi daya penarik.
Ujarnya, kombinasi makanan tradisional dan moden pada masa kini sememangnya menjadi tumpuan pengunjung yang mencari kelainan sajian berbanding negeri-negeri lain.
“Kerajaan negeri sememangnya menyambut baik usaha dilakukan oleh pengusaha-pengusaha kedai makan dan kafe di Perlis yang menampilkan keunikan pada premis serta makanan buat pengunjung.
“Banyak premis makanan menarik di Perlis dan sebagai contoh di Arau ini, kita ada The Bunker Cafe dan pelbagai kedai lain yang menyediakan pelbagai menu menarik dengan harga sangat berpatutan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di The Bunker Cafe di Batas Liku di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, industri makanan di Perlis sememangnya kian berkembang pesat sejak kebelakangan ini dan para pengusaha perlu mengambil peluang bagi meraih limpahan ekonomi menerusi kehadiran pengunjung luar.
“Penggunaan media sosial secara meluas juga banyak membantu kedai-kedai makan di negeri ini menjadi ‘sasaran’ orang luar untuk berkunjung ke Perlis,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, peniaga dan pengusaha premis makanan di negeri ini dinasihatkan supaya dapat menitik beratkan aspek layanan terhadap pelanggan, kebersihan dan keselesaan buat pengunjung.
Tambahnya, langkah ini dapat membantu dalam mempromosikan negeri ini bagi menarik lebih ramai pengunjung luar.
“Jika pelancong berasa seronok dengan kunjungan mereka ketika berada di premis makanan tersebut, sudah tentu ia akan menjadi ‘buah mulut’ sekali gus membantu merancakkan kemasukan pelancong ke negeri ini,” katanya.-UTUSAN