GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Pemain pelancongan di Perlis perlu tingkatkan penanda aras

Oleh Mohd Hafiz Abd Mutalib, 5 Januari 2024, 11:14 am

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meluangkan masa melawat Jeti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri di Empangan Timah Tasoh. – UTUSAN

PADANG BESAR: Setiap pemain industri pelancongan di negeri ini perlu meningkatkan penanda aras masing-masing ke skala yang lebih tinggi sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia bagi memastikan tahap kualiti sektor pelancongan di Perlis yang berterusan.

“Ia sekali gus mampu setaraf dengan apa yang ditawarkan di destinasi-destinasi lain termasuklah di luar negara yang sudahpun menjadi tumpuan utama para pelancong,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai Program Berbasikal Kayuhan MAIPs Peduli bilangan pertama bagi tahun 2024 di sekitar Beseri, Perlis anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Turut berangkat menyertai sesi kayuhan sejauh 20 kilometer yang turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi serta swasta di negeri Perlis itu ialah anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Selain berkenan berkunjung dan menyantuni tiga orang asnaf terpilih baginda turut berkenan meluangkan masa melawat Jeti Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) negeri di Empangan Timah Tasoh yang digunakan bagi menurunkan bot untuk melaksanakan seliaan dan kerja-kerja penyelengaraan.

Timbalan Pengarah JPS Perlis, Ir Mohd Anuar Abdul Nasir yang menyambut keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin turut mempersembahkan taklimat kepada baginda bahawa empangan ini merupakan sumber air utama untuk kegunaan domestik dengan kedalaman maksimum 15 meter.

Empangan yang sungguh cantik pemandangannya ini terhasil dari pertembungan Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

Ia juga merupakan daya tarikan pelancong yang telah disenaraikan dalam Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Antara yang sudahpun terdapat di situ adalah Dataran Timah Tasoh, Santuari Ikan Air Tawar dan Tasoh Lake Resort.

Pihak JPS juga telah memohon peruntukan di bawah Kementerian Pelancongan bagi menaik taraf beberapa kemudahan baharu buat pelancong di kawasan sekitar empangan tersebut.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bot cruising, kayak, perahu layar HerMission House, memancing, bird watching dan aktiviti rekreasi yang melibatkan air.-UTUSAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/01/pemain-pelancongan-di-perlis-perlu-tingkatkan-penanda-aras/

Leave a Reply