GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Perlis Tourism Bakal Diwujudkan, Kelola Hal Ehwal Pelancongan, Termasuk Geopark

4 Januari 2024, 01.01 PM

KANGAR, 4 Jan (BERNAMA)

Kerajaan negeri bakal mewujudkan badan khas dikenali sebagai Perlis Tourism bagi mengelola dan menguruskan hal ehwal pelancongan di negeri itu termasuk Geopark.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata penubuhan itu adalah susulan peningkatan industri pelancongan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kini dalam proses melengkapkan urusan perjawatan, kemudahan pejabat dan keperluan lain organisasi berkenaan.

“Perlis Tourism akan beroperasi di bawah pemantauan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perli selama enam bulan sebelum diasingkan sebagai sebuah entiti di bawah Perlis State Secretary Incorporation (PSSI),” katanya semasa berucap pada majlis amanat bersama penjawat awam di Dewan 2020 disini hari ini.

Mohd Shukri menjangkakan Perlis Tourism akan beroperasi sepenuhnya Julai tahun ini dan mengharapkan organisasi itu mampu berdiri sendiri serta membawa industri pelancongan negeri ke peringkat global.

Sementara itu, beliau berkata selaras dengan program Tahun Melawat Perlis 2024-2025. kerajaan negeri merangka pelbagai program pelancongan seperti disenaraikan dalam kalendar acara, antaranya Pesta Angin Timur, Pesta Air dan HAri Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Perlis serta acara paling ditunggu-tunggu, Perlis Marathon.

“Limpahan ekonomi daripada pelaksanaan Tahun Melawat Perlis ini dijangka akan turut meningkatkan pendapatan usahawan dan ekonomi penduduk setempat termasuklah di lokasi-lokasi agrotourism seperti belacan madu Sungai Berembang; Pusat Kecemerlangan Mangga Harumanis Perlis; Taman Rimba Herba Perlis; Taman Agrovet; Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh dan Superfruits Valley Chuping.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kemasukan pelancong melebihi 100,000 orang ke Perlis pada Disember 2023 yang lalu. Setakat Oktober 2023, kehadiran pelancong direkodkan melebihi 3.2 juta orang yang mengunjungi ke Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata kerajaan negeri berhasrat untuk mewujudkan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis yang seterusnya dijadikan sebagai pusat biodiversiti setempat wilayah utara dalam usaha mengoptimumkan potensi yang ada di Perlis.

“Cadangan ini dilihat selari dan sebagai tanda sokongan kerajaan dalam memperkasakan penguatkuasaan Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795) dan seterusnya memelihara sumber biologi negara. Satu lawatan kerja telah dilakukan oleh agensi dan komuniti ke negeri Sarawak dan Sabah bagi mempelajari pengurusan pusat biodiversiti ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2259363

Leave a Reply