GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

‘Pokok’ 120 tahun dalam rumah jadi tumpuan

Oleh ASYRAF MUHAMMAD, 9 Januari 2024, 8:00 am

ROSLAN Yahaya (kanan) bersama anaknya, Siti Nursafwani melihat tiang kayu daripada pokok berusia lebih 120 tahun yang masih kekal utuh di rumahnya di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

KANGAR: Sebuah rumah dua tingkat yang di dalamnya mempunyai 15 tiang kayu daripada pokok berusia lebih 120 tahun menjadi tumpuan di Kampung Hujung Tanjung, Kuala Perlis di sini.

Kewujudannya menarik per­hatian pengunjung untuk singgah dan bergambar, sekali gus menjadi antara tarikan di perkampungan nelayan Warna-Warni Seberang Ramai itu.

Malah, di sekitarnya juga dihias cantik sekali gus menyajikan pemandangan cukup menarik di sebalik 1,001 keunikan rumah berusia ratusan tahun itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemiliknya, Roslan Yahaya, 55, berkata, berdasarkan rekod dan gambar lama diperoleh daripada penduduk setempat, rumah itu dipercayai sudah ada berhampiran Masjid Seberang Ramai sejak 1933, namun bekas pemiliknya memaklumkan ia sudah wujud lebih lama iaitu 1904.

Menurutnya, dia membeli­nya pada 2004 daripada bekas pemilik yang juga pewaris kerumah berkenaan.

“Dikatakan suatu masa dulu, kawasan ini adalah sebuah pekan, malah rumah ini juga pada asalnya merupakan sebuah kedai kopi yang menjadi persinggahan nelayan sewaktu pulang mencari hasil di laut,” ujarnya.

Tambah Roslan, pada asalnya, dinding rumah ber­kenaan diperbuat daripada kayu namun dia telah melakukan penambahbaikan dan menukarkannya kepada simen di sam­ping mengekalkan tiang sedia ada.

Jelasnya, dia juga masih menggunakan kayu asal pada bahagian tingkat atas dan tidak melakukan sebarang pengubahsuaian.

“Tiang kayu rumah ini juga sangat kuat dan tidak mudah dirosakkan anai-anai atau mereput disebabkan cuaca, jadi aspek penjagaannya juga tidak begitu sukar,” katanya.

Roslan kini menetap di rumah berkenaan bersama isteri dan dua anaknya. – UTUSAN

Leave a Reply