Promosi Perlis sebagai destinasi persinggahan pendek: Raja Muda Perlis
14 November 2023
KANGAR: Agensi pelancongan, syarikat bas dan kenderaan yang menguruskan kumpulan pelancong dari Malaysia untuk ke Hatyai dipelawa bagi mempromosikan Perlis sebagai destinasi persinggahan pendek.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, sebarang usaha untuk menambah baik dan melincinkan proses dokumentasi di sempadan Perlis oleh pihak bertanggungjawab juga amat dialu-alukan.
Titah baginda, langkah ini secara langsung akan membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMP2024-2025).
“Persinggahan singkat itu juga diharap mampu menarik pengunjung terlibat untuk kembali ke Perlis sebagai destinasi utama pelancongan secara sepenuh masa di masa hadapan,” titah baginda selepas berkenan berangkat melancarkan Kempen Promosi Masakan Perlis berupa Kurma Daging Perlis yang disajikan sempena sarapan pagi di Yun’an Conference Resort, Xishan, Kunming, China.
Keberangkatan tiba baginda ke program itu disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhamad Akmal Abdul Wahab.
Hadir sama ialah pegawai-pegawai perwakilan di Pejabat Konsulat Malaysia terdiri daripada Konsul Muda, Rohaya Ayob, Atase Imigresen, Aishah Hanani Ahmad, Penolong Atase Imigresen, Zainudin Ibram dan Pegawai di Konsulat, Sulfaziatul Irma Sulaini.
Untuk tahun ini sahaja, Tuanku Syed Faizuddin telah melancarkan Promosi Masakan Perlis di beberapa buah negara luar seperti Ethiopia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Latvia, Estonia, Turkiye dan Kemboja sewaktu kunjungan khas baginda bagi memperkenalkan negeri ini ke persada antarabangsa.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, cuti bersempena sambutan Hari Deepavali kali ini sekali lagi membuktikan ribuan rakyat Malaysia bertandang ke negara Gajah Putih itu di mana kedua-dua pintu masuk negara iaitu Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis menjadi sibuk.
“Ini secara tidak langsung memberi limpahan ekonomi yang boleh dinikmati oleh masyarakat setempat di Perlis sekiranya para pelancong ini singgah untuk makan, minum, berbelanja, mengisi minyak, menyumbang kepada masjid ketika solat malahan bermalam di negeri ini,” titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, 2023 merupakan tahun akhir bagi persediaan negeri ini dalam menjayakan penganjuran TMP2024-2025.
Tambah baginda, seluruh jentera kerajaan, swasta, penduduk setempat dan semua pihak perlu membuat persiapan rapi dalam segenap aspek secara menyeluruh.
“Ini adalah termasuk dengan memastikan kemudahan infrastruktur yang baik, kebersihan terjaga dan pemain industri pelancongan membuat penambahbaikan kemudahan produk masing-masing.
“Kegagalan dalam perkara ini dikhuatiri akan menjejaskan imej negeri dan memberi perspektif kurang baik dalam kalangan pengunjung,” titahnya.-UTUSAN
Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/11/promosi-perlis-sebagai-destinasi-persinggahan-raja-muda-perlis/