GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Raja Muda Perlis mahu kemudahan awam dijaga dan ditambah baik

PADANG BESAR, 14 Januari – Setiap kemudahan awam sama ada yang disediakan pihak kerajaan mahupun swasta serta milik persendirian di Perlis hendaklah sentiasa diberi perhatian khusus serta berada dalam keadaan selamat, bersih, teratur dan cantik terutamanya ketika Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas kemudahan awam tersebut perlu memberi perhatian serius berkaitan aspek tersebut.

Titah baginda, antara kemudahan awam tersebut termasuklah tempat makan, tandas, kawasan berehat, ruang solat, aktiviti untuk kanak-kanak, perkhidmatan untuk orang kurang upaya (OKU), kawasan parkir, pengurusan sampah, perparitan dan sebagainya.

“Setiap kemudahan ini wajar ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memberikan keselesaan kepada semua,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli bilangan ke-5 bagi tahun 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Chuping, di sini.

Program kayuhan sambil menyantuni dan memberi bantuan kepada asnaf terpilih itu merupakan aktiviti harian Tuanku Syed Faizuddin yang turut melibatkan ketua-ketua agensi kerajaan dan swasta.

Sumber: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/raja-muda-perlis-mahu-kemudahan-awam-dijaga-dan-ditambah-baik