GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

Kerjasama penggiat pelancongan Perlis tingkat kualiti TMPs

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menekankan kepentingan kerjasama dalam kalangan penggiat industri pelancongan di Perlis dalam usaha meningkatkan kualiti sektor tersebut sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

Baginda bertitah kerjasama yang baik secara tidak langsung dapat mengatasi sebarang kelemahan dan memberikan khidmat terbaik kepada para pengunjung.

“Hal ini dianggap sebagai langkah strategik untuk memperbaiki dan meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini,” titah baginda.

Baginda yang hadir sempena Kayuhan MAIPs Peduli ke-4 (2024), turut melawat Kilang Capal Dr Saad yang beroperasi di Kampung Chemumar Tengah.

Kilang itu dimiliki oleh Saad Saep, pengasas Sentuhan Budi Trading, sebuah syarikat perniagaan capal dan barangan kulit.

Produk kilang tersebut termasuk selipar capal, sandal, dompet, tali pinggang, dan barangan kulit lainnya, dijual dengan harga bermula dari RM20 hingga RM150.

Syarikat itu diberikan bantuan geran dan inovasi mesin oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, SIRIM, dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selain geran daripada Kraftangan Malaysia sejak tahun 2001.

Produk warisan kilang ini dipromosikan melalui pelbagai platform media sosial, dan pembelian boleh dilakukan secara terus dari kilang, borong, runcit atau dalam talian.

Langkah tersebut mencerminkan usaha bersungguh-sungguh dalam memperkukuhkan ekonomi tempatan menerusi industri pelancongan dan pengusaha kulit tempatan.

Turut hadir Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis, Mohd Shahrir Mohamad Ramli, pada dalam lawatan tersebut.

Dalam pada itu, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memberikan bantuan kepada tiga asnaf tempatan berupa wang tunai RM700 setiap seorang beserta Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2024/01/10/kerjasama-penggiat-pelancongan-perlis-tingkat-kualiti-tmps/

Leave a Reply