Tingkatkan promosi pelancongan dalam bahasa Thai
7 Mac 2023
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan promosi pelancongan Perlis turut dibuat secara bertali arus dalam bahasa Thai bagi menarik kunjungan pelancong dari negara jiran itu.
Titah baginda, inisiatif tersebut secara tidak langsung menarik minat penduduk di selatan negara jiran itu seterusnya melawati negeri ini.
Pada kesempatan sama, baginda turut menitahkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemilik serta pengusaha lokasi pelancongan, tempat penginapan dan kedai-kedai makan di negeri ini.
“Promosi tanpa lelah dan berterusan melalui pelbagai medium terutama media sosial berjaya menarik kunjungan pelancong ke Perlis,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian penutupan Pesta Angin Timur Perlis 2023 yang berlangsung tiga hari di Kampung Sungai Padang di sini, semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puteri kedua baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Pesta Angin Timur Perlis 2023 telah berjaya meningkatkan usaha dan kesedaran membabitkan penyertaan masyarakat dalam seni budaya setempat.
“Ia sekali gus membantu memartabatkan lagi keunikan program tempatan.
“Penganjuran program seumpama ini juga diharapkan mampu meningkatkan lagi apresiasi seni budaya kepada segenap lapisan masyarakat ke arah Pembentukan Perpaduan Bangsa Malaysia yang harmoni,” titah baginda.
Pesta Angin Timur yang memasuki tahun ke-11 itu dianjurkan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama Majlis Kebudayaan negeri.
Ia diyakini dapat mengembalikan nostalgia tradisi kehidupan masyarakat dulu yang kaya dengan adat dan budaya.-UTUSAN
Artikel Asal: https://www.utusan.com.my/nasional/2023/03/tingkatkan-promosi-pelancongan-dalam-bahasa-thai/