GO UP

Tahun Melawat Perlis 2024

TMP 2024/2025: Perlis Sasar 3.5 juta Pengunjung

8 Disember 2023

Kangar: Perlis mensasarkan kehadiran pelancong sebanyak 3.5 juta pengunjung pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP 2024/2025).

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri akan melancarkan program, acara dan tawaran menarik yang bersesuaian bersempena TMP2024/2025 bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri itu.

“Semua pihak juga harus memikirkan kaedah untuk menarik orang ramai yang pernah melawat ke Perlis untuk berkunjung semula ke negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perdana TMP2024/2025 di Dewan 2020, di sini, malam tadi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat pada majlis itu.

Katanya lagi, lokasi pelancongan di negeri ini boleh dikategorikan kepada lima kluster dan teras mengikut strategi berbeza berlandaskan Pelan Induk Perancangan Fizikal Pelancongan negeri.

“Kluster tersebut terdiri daripada Jejak Pelancongan Eko, Jejak Pelancongan Agro, Jejak Pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan, Jejak Pelancongan Membeli Belah dan Makanan; dan Jejak Pelancongan Sukan dan Rekreasi,” ujarnya.

Menurut Mohd Shukri lagi, segenap lapisan masyarakat sesuai berkunjung ke negeri utara Malaysia itu kerana menawarkan suasana tenang kepada para pengunjung.

“Oleh itu, Perlis benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi eko pelancongan di Malaysia.

“Malah negeri ini juga berada pada landasan terbaik untuk menjadi antara negeri pilihan utama pelancong,” katanya.

Antara lain, ujarnya, kemajuan  industri pelancongan mempunyai banyak potensi khususnya bagi mempercepatkan pembangunan negeri.

“Perkembangan sektor pelancongan negeri memberikan kesan limpahan ekonomi kepada banyak pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Contohnya melalui pembukaan tempat penginapan yang baharu, ia turut membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya lagi.

Artikel Asal:

Leave a Reply